Hari Itu

Hari itu
Masih jelas di corong telingaku
Tutur-tutur janji dari bibirmu
Tentang perjuangan bangsa
Tentang maruah agama
Tentang hala tuju bersama

Hari itu
Masih segar di mata hitamku
Sekilas raut dari wajahmu
Penuh keberanian
Penuh keyakinan
Penuh tekad dan azam

Tapi mengapa semalam
Angin meniupkan bibit berita
Janji-janjimu lena di buaian mimpi
Wajahmu redup muram tiada pedoman
Kau berundur sebelum langkah bermula
Kau tewas sebelum keris dihunus
Kau menyerah sebelum perang tercetus

Dan hari ini baru ku sedar
Janji-janjimu hanya sekadar cebisan sampah
Riak wajahmu hanya topeng berwajah dua
Harapan tinggi yang kau berikan
Ditarah tanpa ihsan dan belas

Dan hari ini aku terkilan
Musuhku dari bangsaku sendiri
Lawanku adalah kawanku sendiri
Kerana kau
Pengkhianat yang bermuka-muka

No comments: